Saturday, November 21, 2009

PhD dan perasaan hasad dengki

Beradanya aku di sini kerana menyambung cita-cita dan harapan keluarga. PhD yang aku kejar kini hampir ke penghujungnya walaupun banyak lagi yang harus ku buat sebenarnya. Pelajaranku sedikit terganggu dan banyak kerja terbengkalai kerana masalah peribadi dan keluarga. Namun tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang aku alami. Hanya Allah mengetahui segala jerit perih, suka duka dan kepayahan yang kulalui. Dugaan demi dugaan menguji aku yang kerdil ini. Banyak yang aku belajar sebenarnya. Bukan sekadar PhD yang ku tuntut selama ini, tetapi juga Perasaan Hasad Dengki manusia yang tak pernah surut.

" Ya Allah Ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari hasad dengki manusia, sihatkanlah kami sepanjang masa, tempatkanlah kami dalam golongan orang-orang beriman dan soleh...". Itu antara bait-bait doa ayah dalam bahasa melayu setiap kali usai solat. Tidak pernah berubah dari aku kecil dan doa yang sama kupanjatkan setiap kali selesai menunaikan tanggungjawapku sebagai orang islam. Dahulu, aku sering menganggap yang doa itu biasa-biasa sahaja. Tiada yang signifikan dalam kehidupan yang boleh ku kaitkan kerana aku selalu menganggap orang semua baik-baik belaka. Kini, aku mengerti mengapa ayah berdoa sebegitu. Memang hati manusia ini tidak dapat dijangka. Perasaan hasad dengki sentiasa ada. Sepanjang usiaku dan pengalaman yang ada, aku telah melalui satu episod yang agak suram. Begitu berat dugaan Allah. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Dugaan ini lebih berat bagi insan-insan yang amat aku sayang. Menempuhi pengalaman bersama setiap detik membuatkan aku sering kecewa dan marah dengan insan-insan berhati busuk sebegini. Mahu menjadi Tuhan mungkin mereka ini. Tidak takut pada balasan Allah. Sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai matlamat dan cita-cita. Kepuasan apa yang dicari? Apakah mereka merasakan dengan 'menyeksa' yang lain, kemenangan itu lebih manis? Alhamdulillah kami masih ada Allah dan yang membezakan sesama manusia itu imannya. Semoga Allah terus menetapkan iman kami dan terus memberikan hidayahNya.

Walau berat mana dugaan yang Allah beri, namun aku tahu, dugaan sebegini hanya untuk insan-insan yang terpilih. Selalu aku sematkan dalam hati, semua ini ada hikmahnya. Doa insan-insan teraniaya ini pasti didengarNya. Aku cuma berharap agar segala perbuatan mereka dibalas dunia. Kerana aku sudah tidak sanggup lagi melihat insan-insan yang aku sayangi ini terseksa dan merana. Dan aku juga sudah tidak betah untuk cemas sentiasa. Melewati setiap detik dan waktu dengan waspada.

Pengalaman pahit ini juga mengajar aku erti sebenar pengorbanan dan kasih sayang. Betapa seorang ayah ataupun ibu sanggup berbuat apa sahaja demi anak tersayang. Betapa kasih suami sanggup berkorban waktu dan apa sahaja demi isteri tercinta. Betapa kasih adik terhadap kakaknya yang sanggup berbuat apa sahaja demi meringankan beban yang ditanggung. Wang ringgit dan masa habis dikorbankan demi kebahagiaan bersama. Tiada siapa sanggup melihat insan tersayang menderita. Inilah nilai kekeluargaan yang dicipta bersama. Rasa susah tidak ada dalam kamus hidup kami kerana kesusahan yang ditanggung insan terpilih itu lebih tinggi skalanya.

Aku cuma berharap agar aku dapat mengutip semula kekuatan diri. Menjadi insan yang tabah dan cekal. Segala yang berlaku semua diatas kehendakNya. Pasti ada kelemahan dan kekurangan yang membuatkan dugaan ini datang kepada kami. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kami dan mendengar doa-doa kami.

Tiada apa yang lebih bermakna daripada ketenangan jiwa. Itu sebenarnya yang aku cari. Itu sebenarnya kekuranganku kini. Semoga ada sinar bahagia bagiku di bumi asing ini. Agar dapat kuteruskan perjuangan sehingga ke titisan yang terakhir.

No comments: