Saturday, May 15, 2010

Rajuk

Wajar atau tidak itu bukan persoalan. Yang menjadi persoalan mengapa perlu merajuk? Pada aku, perlu jika mahu memberitahu atau mengajar si dia tentang kita. Perlu faham disebalik rajukan itu tersirat seribu makna. Tapi janganlah sampai rajuk yang berpanjangan. Perlu sebab yang kukuh mengapa perlu menjeruk rasa sebegitu. Hati pastinya terusik jika rajuk yang pilih.

Sukar untuk memahami isi hati seseorang apatah lagi mengenali siapakah dirinya. Rajuk itu seringkali dikaitkan dengan manja. Namun pada orang yang kurang manjanya, pasti lebih kepada tersinggung.

Aku merajuk kerana aku perlu perhatian dan pengertian. Ada sebab mengapa aku merajuk sekarang. Bukan seperti waktu kecil dulu yang kadangkala merajuk tak tentu pasal. Lagi berusia, lagi banyak yang perlu difikirkan atas satu-satu tindakan. Kita perlu bertanggungjawap atas segala tindakan dan keputusan yang diambil. Sudah dewasa, pasti lebih senang mengenal mana yang benar atau tidak.

Kalau rajukan tidak disambut dengan pujukan, pastinya hati lebih tersinggung. Sia-sia merajuk jika tiada yang mahu pujuk!. Penjelasan amat perlu kerana jika tidak, 'perang dingin' pasti berlarutan. Dalam kehidupan berumahtangga, rajuk-rajuk sayang ini perlu untuk menghangatkan hubungan. Lebih-lebih lagi jika perhatian yang didambakan! Kesibukan harian sudah mengatasi semarak hubungan seperti waktu bercinta dahulu. Penjagaan hati tidak lagi dititikberatkan. Terlalu banyak yang diambil mudah. Terlalu banyak yang ada perlu difikirkan. Hal anak, hal rumahtangga, hal pejabat, hal mertua, hal jiran tetangga dan segala macam hal lagi. Kerana sudah bersama, pastinya walau apa yang datang, perlu ditempuhi jua. Kerana sudah di depan mata, hendak lari ke mana lagi. Perlu dihadapi juga. Tidur sekatil, makan semeja. Namun sebenarnya perlu dijaga hati-hati ini agar rasa yang mengusik jiwa tidak memakan diri.

Apa-apa pun, kemaafan itu adalah jalan mencari makna ikhlas, sabar dan redha dalam kehidupan!


No comments: