Monday, May 31, 2010

Masih adakah lagi kepercayaan itu?

Menerima kiriman e-mail dari seseorang yang aku hormat sebagai kakak dan punya banyak ilmu membuatkan aku gembira. Gembira dengan kata-kata perangsang dan semangat yang diberikan. Terima kasih Kak A. Aku harap hari raya nanti kita dapat berjumpa. Jadi lebih yakin dan percaya dengan diri sendiri. Menaikkan sedikit semangat aku yang agak goyah sekarang ni.

Aku rasa akhir-akhir ni aku banyak buat tindakan yang mengikut perasaan. Bersalah? Yer, aku seringkali rasa bersalah dengan tindakan aku yang aku rasakan seperti mencurah minyak ke dalam api. Menambah garam pada luka yang terlihat.

Semalam sewaktu ingin tidur, aku rasa aku terlalu dibuai dengan perasaan dan kenangan sedih masa lalu. Namun setiap kali kenangan itu singgah dibenakku, airmata ini akan terus bergenang dan mengalir. Terlalu dalam rasa yang aku simpan sehingga kini. Aku amat yakin dia tidak pernah merasakan begitu besar kesannya terhadap diriku. Aku sendiri tidak tahu mengapa perlu diingat perkara yang sudah berlalu, lebih-lebih lagi benda yang membuatkan diri ini sangat terluka dengan setiap kejadian dan perbuatannya. Tapi aku perlu mencari jawapan kepada pelbagai persoalan di dalam benakku sekarang. Mengapa dan kenapa. Aku hanya inginkan kepastian walaupun aku tahu ini semua telahan aku yang mungkin berat sebelah. Aku rasa aku temui jawapannya. Walaupun kadangkala aku sedikit sangsi dengan fikiranku sendiri. Bimbang terhasut bisikan syaitan yang sering mahu melihat anak adam ini leka, lalai dan membuat perkara yang tidak sepatutnya.

Aku rasa aku ini pemaaf orangnya. Mudah memaafkan tetapi tidak mudah melupakan. Kerana itu, aku rasa bila terlalu banyak benda yang telah melukai jiwa, lebih lagi jika parutnya amat dalam, untuk aku sembuh dan menerima kembali aku perlukan kepercayaan yang bukan sedikit nilainya. Lebih-lebih lagi dari orang yang terlalu aku percayai. Bukti kesungguhan dan keikhlasan itu yang aku cari untuk aku menyembuh luka silam. Benar bibir mengucapkan maaf, namun aku rasa hati tidak sukar melupakan. Aku tidak pasti samada aku ikhlas atau tidak. Benar kata ayah, untuk ikhlas, sabar dan redha itu sesuatu yang amat sukar untuk dikecapi. Aku ini insan yang lemah. Aku tahu aku tidak sepatutnya menghukum. Aku tahu aku tidak layak untuk menilai keikhlasan manusia lain. Namun hati ini selalu memberontak inginkan kesempurnaan.

Aku rasa disebabkan semua itu, aku sendiri telah membina jurang dan benteng pertahanan hatiku agar tidak mudah untuk mempercayai dan memberikan sepenuhnya lagi. Dan seakan-akan aku sengaja menguji segala cubaan yang dilakukan kerana aku tidak puas dengan kesungguhannya. Aku tidak yakin. Ya, mungkin itu yang aku rasakan. Keyakinan itu telah pudar ditelan oleh kesalahannya yang lalu. Untuk ditebus kembali, aku perlukan masa untuk kembalikan kepercayaan ini sepenuhnya. Kepercayaan atas janji yang diucapkan dahulu yang aku rasa telah dikhianati. Tapi aku juga percaya setiap manusia tidak sempurna. Dan aku tidak sepenuhnya menyalahkannya. Cuma mungkin hati ini sudah tidak betah menerima dek kerana terlalu banyak dikecewakan.

Aku sendiri tidak tahu apa yang aku harus lakukan. Buntu dengan tindakan sendiri yang aku rasa mengundang dosa. Bagaimana mahuku ikhlaskan hati ini semula Ya Allah? Aku tidak mahu perasaan sebegini terus-terusan menghantui diriku. Membiarkan diri ini terluka kerana perbuatan sendiri dan membuatkan dia lebih terluka. Aku hanya mahu keredhaanMu dan keredhaannya Ya Allah. Aku terlalu sayangkan dia. Tapi kasih sayang itu harus dibaja agar ia terus subur dan segar. Tidak layu dan longlai. Hanya jasad yang tinggal, jiwanya melayang entah ke mana. Terlalu besar jurang yang aku rasakan kini. Terlalu besar.

Laluan hidup ini penuh berliku. Aku tidak tahu sampai bila aku dapat bertahan dengan perasaan begini. Tidak pasti dan keliru. Buntu dan bersalah. Aku tidak tahu apa yang aku akan dapat jika berterusan begini. Mungkin lebih memburukkan keadaan yang ada, atau mungkin dia akan lebih menghargai dan memahami. Aku pernah terfikir, jika aku tiada disisinya, adakah dia akan lebih bahagia? Adakah aku ini kegembiraannya? Kenyataan itu sebenarnya pahit untuk ditelah. Dan aku tahu, saat ini aku harus segera mohon ampun kepadanya agar diri ini tidak dibelenggu rasa sebegini. Tapi sekadar memohon ampun tanpa penjelasan, tidakkah terlalu mementingkan diri namanya? Dia bukan malaikat. Dia manusia biasa. Dia bukan ahli nujum. Dia tidak dapat membaca mindaku.

Aku tahu aku harus lapangkan hati, membuka fikiran agar aku dapat jadi lebih rasional. Ku harapkan semoga Tuhan bukakan jalan untuk kami untuk menuju kebahagiaan yang diidamkan. Hidup ini tidak selalu indah...

2 comments:

welcome.. said...

we..sblm aku komen pnjg..aku nk mintak maaf bebyk..aku tau ko terasa ngan aku ngan nurul sbb tak tau kewujudan blog ko yg nih..aku mmg susah sgt nk ikut blog..serius we..susah sgt..apatah lg ngan kehidupan aku yg amat serabut..hrpnye ko phm..tp kali nih aku terpanggil utk jenguk blog ko..we..sorry sesgt k! aku tau aku ptt bg support sepenuhnye kat ko..tp ye laa..kekdg bukan dr pe yg kite nmpk atau dr zahirnye..tp aku mmg slalu doakan kesejahteraan sahabat2 aku (esp ko..aida..nurul..zana) doa aku utk korang mmg tak pernah lekang setiap kali lps solat..n aku mmg takkan lupe doa utk korang dlm solat2 hajat aku..sbb korang sahabat2 terbaik aku..

aku rasa aku tak layak nk komen perasaan ko we..sbb aku rasa dugaan n cabaran ko amat laa hebat..tp pape pun aku harap ko dpt kekalkan semangat ko yg dh naik cket tuh we..n hrpnye semangat ko makin hari makin tinggi..

bile semangat ko dh tinggi..insyaAllah ko dpt harungi sume tentangan n sume perasaan negatif ko we..ko kena slalu percayakan diri ko yg ko ley lalui sume nih..

maybe antara ko ngan dia..kepercayaan itu masih ada..cuma ko kena penuhkan kepercayaan itu 100% n aku rasa sume akan ok lps tuh..wpun aku mmg tak tau pe sbnrnye yg berlaku..aku yakin hari2 bahagia pasti menanti ko..n pd hari itu..ko akan rasa ko laa insan yg paling bahagia dalam dunia nih we! percaya laa..

sabar k we..take care bebyk..love u so much! ;)

-niza-

Ms Perfect said...

thanks niza. I really appreciate your comment. Janganlah risau, aku tak kecik ati pun kalau korang tak baca sbb tujuan aku menulis blog ini sekadar untuk luahan rasa. Aku bagi link dulu sebab nak nak share pasal diri aku kat sini, sbb kdg2 masing2 busy nak berbalas email. Aku tak bagi link blog ni suka-suka hati. Hanya untuk korang and few peoples yg cukup rapat dengan aku. Even bugsqueen pun. You guys have the privilage to know about me and my personal life because you are my bestfriends. Sebab aku rasa blog ni terlalu personal untuk dikongsi dengan semua and byk post yang aku tulis aku tak publish pun. Sebab aku tau batas-batas aku untuk berkongsi hal peribadi lebih-lebih lagi hal rumahtangga. Tak semua aku akan tulis, cukuplah aku sendiri yg tahu dan apa yang aku tulis ni hanya gambaran perasaan aku. Ini cara aku melepaskan apa yang terbuku sbb tu aku tulis blog. Aku faham kesibukan harian korang. and thank you so much for being my friend all this while. Korang kawan aku dunia akhirat.Walaupun tak semua cerita dapat kita kongsi, I know you guys will always be there whenever I need you. Love u so much too!