Thursday, February 4, 2010

Luahan hati seorang isteri

Kadang-kadang hati sepi. Rasa kosong. Tak tau apa sebenarnya yang didambakan. Kasih sayang kah? Perhatian kah? Mencari jawapan sendiri pasti sukar ditemui noktahnya. Aku sedar sebagai manusia, diri ini jauh dari sempurna. Sempurna sebagai seorang hamba kepadaNya, sempurna sebagai seorang Islam, sempurna sebagai seorang isteri...walaupun diri ini sentiasa mahu jadi perfectionist.

Aku tahu aku perlu kutip semula kekuatan diri. Perlu mencari semula nur dan hidayahNya. Perlu menagih segala kasihNya kembali. Perlu mencari kemanisan iman yang semakin pudar ditelan waktu. Aku sebenarnya mengharapkan bimbingan. Lebih-lebih lagi dari sang suami. Namun aku sedar, semua itu juga perlu kucari sendiri tanpa mengharap pada yang lain. Perlu kasih dan cintakan Allah yang satu, selepas itu barulah diberikan sedikit pada yang lain. Kerana kasih Allah tidak pernah menghampakan. Tetapi sebagai manusia yang daif, kita selalu mengasihi manusia berlebih-lebihan sehingga kadang-kadang menyakiti hati sendiri.

4 tahun lamanya kami berumahtangga. 6 tahun lamanya bercinta. 10 tahun berkongsi rasa. Berumah mungkin, tapi tidak bertangga. Goyah sedikit. Kerana keterbatasan waktu bersama. Kerana terpisah beribu batu. Tangga untuk rumah kami masih dibina. Dan aku harap ianya akan teguh seiring usia. Belum dapat kurasakan sebenar2nya alam berumahtangga sementelah diri ini sentiasa beranggapan belum masanya kerana kehidupan kami berbeza. Bila masanya? Pasti jawapannya setelah semua selesai kelak. Dan waktu itu tanggungjawap akan digalas sepenuhnya.

Sebagai isteri, sebaik mungkin aku cuba melaksanakan tanggungjawapku selagi ku punya ruang dan waktu. Perasaan bersalah sering menyelubungi diri kerana terpaksa melepaskan tanggungjawap yang unggul itu. Seboleh-bolehnya aku ingin menjadi isteri mithali. Patuh pada suami, taat dan setia disampingnya. Yang menyejukkan mata dan menenangkan hati dan fikiran. Mudah untuk mendapat pahala dari sang suami. Tak usah pergi jauh, cukup dengan segelas air sejuk atau urutan lembut jika suami pulang dari penat bekerja. Atau sambut suami dengan senyuman manis dan suara yang penuh kelembutan. Walaupun sebagai isteri yang selalu ditinggalkan dek kesibukan pekerjaan suami sebagai doktor, aku tetap senyum menghantar dan menyambutnya pulang setiap hari. Walaupun diri ini terlalu rindu untuk berbicara dan bermesra dengannya. Walaupun kutahu cutiku hanya sekejap cuma. Aku tidak punya byk masa. Namun rajukan hati disimpan rapi. Kecewa diri kudiamkan sepi.

Wanita perlukan belaian kasih sayang. Wanita perlu merasakan dirinya disayangi. Tapi lelaki sering tidak tahu betapa pentingnya semua itu untuk survival hati sang isteri. Biarpun si isteri tahu sang suami sangat mencintai dirinya, tetapi kasih sayang itu sering mahu ditunjukkan dengan perbuatan dan kata-kata. Kucupan, belaian mesra, gurauan, semua itu mampu membuat hati isteri cair sentiasa. Walaupun sekadar satu pelukan ringkas, ia tetap akan menjadi kenangan manis buat sang isteri sepanjang hari. Yang akan membuatnya terus gembira melewati kesibukan harinya.

Menjadi wanita membuatkan aku kagum dengan diri sendiri. Wanita sebenarnya tabah dan punya hati yang kental. Walau apa pun yang datang melanda, jika namanya isteri, pasti akan digagahi juga untuk suami tercinta. Biarpun pahit terpaksa ditelan. Semuanya kerana mahu mencari redha sang suami. Pahala senang, dosa pun senang. Laluan ke syurga juga senang bagi isteri mithali. Yang menjaga agamanya, nama baiknya dan juga kebajikan suaminya. Kuharapkan, aku dapat menjadi isteri itu. Namun kutahu laluan sangat berliku. Semoga Allah dapat membantuku mencari jalan ke syurgaNya.

1 comment:

Unknown said...

Sedihnya membaca luahan begini. mungkin suatu masa dulu saya tak pernah merasai begini tetapi sekarang saya telah merasai apa yang awak rasakan. Mungkin sebab suami pun jauh beratus-ratus batu,kehidupan saya terus berubah 180 darjah,hati goncang dan kecewa walaupun aturan waktu kerja dan masa bukan ketentuan suami yang bekerja sebagai MA diHKL. Dalam fikiran ni macam-macam yang tak patut difikirkan mula menjelma diruang mata..mencari setitis kesabaran entah dari mana punca!Sebab tu saya cuba berkongsi rasa.. ZT - lafealoves@gmail.com